Tuesday 5 June 2012

Puteriku Anastasia 2


BUK! Satu lagi pukulan yang amat menyakitkan singgah di perut lelaki malang itu.Dia tertiarap sambil menekan perutnya menahan kesakitan.Tidak hilang lagi kesakitannya,bertubi-tubi lagi tumbukan dan tendangan hingap di batang tubuhnya yang kurus kering itu.Dia tidak berdaya lagi.Darah merah pekat mengalir keluar dari hidungnya.

      ‘’Tolonglah aku,Fik! Aku dah tak boleh nak tahan! Tolonglah!’’Rayu Irfan tersekat-sekat sambil mengaduh kesakitan. Darah merah yang mengalir tadi membasahi seragam birunya.

      ‘’Hee!!! Sejak bila kau jadi mat gagap ni.Sejak bila hah?’’Jerkah Taufik.Dia menghadiahkan satu lagi tumbukan keras ke dada Irfan.Sharif dan Rakin hanya senyum lebar.Kehebatan Taufik dalam ilmu membelasah orang memang tidak dapat dinafikan lagi.

      ‘’Tolonglah Fik! Aku janji,aku tak buat lagi! Tolonglah!’’ Irfan semakin tercungap-cungap.Sejak satu jam yang lalu dia tidak henti-henti dibelasah di kawasan belakang sekolah itu.Hari yang semakin senja memutuskan harapannya untuk mendapatkan pertolongan.

      ‘’Wei! Janji kau tu tak berguna satu sen pun tau tak sekarang.Masa kau pergi merepot kat pengetua botak yang kau sayang sangat tu,kau tak tau pulak nak fikir.Sekarang,rasakan akibatnya.’’Satu lagi penendang hingap di dada Irfan.Pandangan Irfan semakin kelam.

      ‘’Woi Fik! Sampai bila lu nak belasah prefect yang kononnya perfect ni.Bagilah gua chance pulak.Boringlah jadi tukang tengok je.’’Rungutan Rakin membuatkan hati Irfan semakin bergetar.Bibirnya terketar-ketar.

      ‘’Dahlah.Gua pun dah boring ni.Lu punya turn pulak ah.Tak ada thrill pun belasah mamat lembik ni.Maklumlah,pondan!’’Kata-kata Taufik disambut dengan hilai ketawa.

      ‘’Tak ada hal punyalah siot.Gua pun dah lama geram dengan jantan keberet ni.’’Sharif dan Rakin mengepal penumbuk seraya bangun dari duduk mereka.Rakin merentap kasar kolar baju Irfan seraya menghadiahkan penumbuk tepat mengenai perut Irfan.Irfan mulai melihat bintang-bintang berlatarkan warna merah yang mewarnai kaki langit.Sharif menolaknya kasar ke arah dinding.Irfan terus pengsan.



PUAN Ruzaimah dan Encik Nurdin melangkah ke arah pejabat sekolah dengan pantas.Wajah Puan Ruzaimah sangat marah.Dia kelihatan kelam kabut.Berlainan sekali dengan Encik Nurdin yang tampak lebih tenang.Ketika menaiki tangga,Puan Ruzaimah melanggar seorang pelajar perempuan.Buku-buku yang dipegang oleh gadis itu jatuh bertaburan.

     ‘’Hoi! Buta ke hah.Jangan tu pakailah mata,jangan nak pakai kepala lutut!’’Tengking Puan Ruzaimah.Sedikitpun dia tidak meminta maaf.Budak perempuan itu sekadar membisu.Dia mengutip buku-bukunya dengan pantas.

     ‘’Minta maaf.’’Setelah selesai berkata-kata,dia berlalu dari situ.

     Puan Ruzaimah merengus. ‘’Nak perli oranglah tu.Budak-budak zaman sekarang ni memang tak menghormati orang tua.Kurang ajar betul.’’

     ‘’Tak baik awak cakap macam tu.Sepatutnya awak yang minta maaf kat dia.Awak yang langgar dia tadi.’’Encik Nurdin menyanggah kata-kata isterinya.

     ‘’Awak diamlah.Awak tahu apa.Sibuk sangat nak membela budak tu.’’

     ‘’Awak ni asyik nak mengata anak orang,anak awak tu baik sangat ke?’’

     Puan Ruzaimah tidak menjawab.Hatinya mendongkol marah mendengar kata-kata suaminya yang berbaur sindiran.Wajah Taufik meniti di tabir mata.Tak guna punya anak,menyusahkan hidup aku saja,rungut Puan Ruzaimah dalam hati.

     Sesampai saja di hadapan pintu bilik pengetua,Puan Ruzaimah terus memulas tombol pintu dan masuk ke dalam dengan pantas.Encik Jalil sedikit terperanjat apabila Puan Ruzaimah tiba-tiba masuk tanpa kebenaran.Puan Anis dan Irfan juga sama.Hanya Taufik saja kelihatan selamba sambil mengunyah gula-gula getahnya.

       ‘’ Encik Jalil,apa pulak kesalahan anak saya kali ni?’’Soal Puan Ruzaimah berterus terang tanpa mempedulikan suaminya.

       ‘’Awak ni…’’Encik Nurdin mengetap bibir. Encik Nurdin memandang Encik Jalil. ‘’Maafkan kelakuan isteri saya ini ya,Tuan Pengetua.’’

       ‘’Oh,tak apa.Silakan duduk.’’Pelawa Encik Jalil.Kini dia rasa dia sudah tahu dari mana Taufik mewarisi perangainya yang buruk itu.Puan Ruzaimah segera duduk di sebelah Taufik.Tanpa rasa malu dia terus mencubit lengan Taufik dengan kuat.

       ‘’Auch! Sakitlah mama!’’Jerit Taufik kecil. Dia menggosok lengannya perlahan.Sambil-sambil itu dia menjeling Irfan.Irfan sekadar menundukkan kepala.

       ‘’Kenapa mama sampai kena panggil ke sekolah ni,hah?Kamu tahu tak yang mama ni sibuk.Bukan nak uruskan hal kamu je.’’Puan Ruzaimah berkata tanpa berselindung. Dia mengerling jam tangannya.Encik Nurdin beristighfar.Sehingga di hadapan orang yang tidak dikenali pun isterinya menunjukkan taring sebenar.Sibuk,sibuk,sibuk! Kalau sibukkan hal anak tak apalah jugak.Sejuk mata memandang.Ini tidak!

        ‘’Begini Puan Ruzaimah,Encik Nurdin.Sebenarnya Taufik ni telah disyaki memukul Irfan di sekolah semalam.Sebab itulah saya panggil tuan dan puan ke sekolah hari ini untuk membincangkan tentang hal ni.’’Encik Jalil menerangkan dengan panjang lebar.

        ‘’Adakah bukti yang menunjukkan Taufik bersalah dalam hal ni?’’

        ‘’Nak bukti apa lagi Encik Nurdin? Dah memang sah yang anak Encik Nurdin yang pukul anak saya sampai lebam-lebam teruk macam ni.Lagipun,dia kan samseng kat sekolah ni.’’Puan Anis menyampuk sebelum Encik Jalil sempat membalas.

        ‘’Hei,mulut kau tu jaga sikit tau! Suka-suka hati je nak panggil anak orang samseng.Awak ingat anak awak tu bagus sangat ke?’’Puan Ruzaimah memulakan bunga-bunga pertengkaran.

        ‘’Ya,memang anak aku bagus pun! Kalau tak takkanlah dia boleh jadi pengawas kat sekolah ni.Lebih bagus daripada anak kau tu.Kecik-kecik dah pandai nak jadi samseng!’’

        Taufik meletupkan belon yang tercipta dari gula-gula getah yang ditiupnya.Dia menarik gula-gula getah yang tawar itu ke dalam mulut dan mengunyah kembali.Dia bangun dan mendekati Puan Anis.

        ‘’Mak cik jangan suka-suka hati nak hina saya!’’Mata Taufik mencerlung memandang wanita itu.

        ‘’Kalau tak,apa?Kau nak pukul aku macam mana kau pukul anak aku?’’Soal Puan Anis berani.Apa yang nak ditakutkan.Kalau Taufik mahu memukulnya pun dia sanggup.Biar budak kurang ajar ni dibuang sekolah terus!

        ‘’Tak! Tapi saya akan pecahkan rahsia mak cik! Rahsia mak cik yang paling besar sekali!’’Taufik ketawa berdekah-dekah pula.

        ‘’Rahsia apa?Apa yang samseng macam kau ni tahu hah?’’Puan Anis mengetap bibir.Kalau nak diikutkan hati,mahu saja dia menampar pipi jejaka yang kurang ajar itu.

       ‘’Rahsia tentang anak mak cik yang mak cik sayang ni.Itupun kalau dia betul…’’Senyum Taufik semakin melebar.Wajah Puan Anis bertukar pucat.Takkanlah Taufik tahu rahsia yang dipertahankannya selama ini?

       ‘’Rahsia apa,mama?’’Soal Irfan penuh tanda tanya.

       ‘’Tak ada apa-apalah.Fan,jom kita balik sekarang.’’Ujar Puan Anis kelam kabut.Dia cepat-cepat mencapai tas tangannya dan menarik tangan Irfan.

       ‘’Mama,kenapa mama kelam kabut sangat ni?’’Irfan bertanya pelik.Tadi mamanya yang beria-ia sangat nak berjumpa dengan pengetua untuk menuntut pembelaan.Kini,mamanya pula yang sukarela menarik diri.

       ‘’Puan Anis,Puan Anis kata Puan Anis nak membincangkan pasal hal Irfan.Kenapa sekarang ni Puan Anis tergesa-gesa nak balik pula?’’

       ‘’Tak apalah,Tuan Pengetua.Lain kali sajalah,ya.’’

       ‘’Tak,saya tak puas hati!’’Puan Ruzaimah bangkit dari tempat duduknya. ‘’Saya nak perbincangan ni diteruskan.Saya tak nak masa saya ke sini terbuang sia-sia saja.Lagipun dia yang mahu pertemuan ni diadakan sangat kan?Kenapa?Dah sedar yang Taufik tak bersalah?’’

       ‘’Ni bukan soal bersalah atau tidak!’’Ujar Puan Anis keras.Dia melihat riak wajah Taufik yang selamba.Dia bimbang anak muda itu akan membocorkan rahsia.

       ‘’Saya tak peduli! Saya nak perbincangan ini diteruskan!’’Tegas Puan Ruzaimah. Dia memandang Encik Jalil,meminta Encik Jalil membuat keputusan.Encik Jalil berasa serba salah,dia memanggung kepala seketika memikirkan sesuatu.

       ‘’Tuan Pengetua,apa lagi yang Tuan Pengetua terhegeh-hegeh lagi tu?’’Soal Puan Ruzaimah kurang sabar.

       ‘’Ish awak ni Mah,tak boleh ke awak bercakap dengan bahasa yang lebih sopan sikit hah?’’Marah Encik Nurdin.Kata-katanya disambut dengan cebikan.Dia memalingkan wajah pada pengetua. ‘’Maafkan kata-kata isteri saya,Tuan Pengetua.’’

       Encik Jalil sekadar mengangguk.Dia sudah biasa berhadapan dengan kerenah ibu bapa yang pelbagai ragam,jadi dia tak terasalah sangat dan sudah siap sedia untuk menghadapi masalah seperti itu.Dia menghadiahkan Taufik senyuman pahit.Rasa kasihan tumbuh di hati.Dari apa yang dilihat sekarang pun dia sudah dapat mengagak yang Encik Nurdin dan Puan Ruzaimah sering bertengkar.Macam manalah perasaan Taufik apabila dibesarkan dalam suasana begitu.Patutlah dia pun jadi kaki gaduh!

       ‘’Tuan Pengetua,saya tak…’’

       ‘’Tuan Pengetua buatlah keputusan yang sewajarnya.Saya akan mengikuti apa saja keputusan yang dibuat oleh Tuan Pengetua.’’Pintas Encik Nurdin apabila Puan Ruzaimah membuka mulut.Puan Ruzaimah mencerlang memandangnya,tapi Encik Nurdin tak peduli.

       ‘’Taufik,betulkah kamu memukul Irfan semalam,di belakang sekolah lebih kurang pukul 6 petang?’’Soal Pengetua.Soalannya sudah cukup membuktikan yang dia mahu meneruskan perbincangan tersebut.Puan Ruzaimah tersenyum puas manakala Puan Anis terpaksa duduk semula di atas sofa.

       ‘’Tidak,Yang Arif!’’Jawab Taufik selamba.Taufik meniupkan belon dan memecahkannya kembali.

       ‘’Boleh tak kamu jangan main-main dalam keadaan ni,Fik?’’Tegur Encik Nurdin.

       ‘’Mana ada Fik main-main.Dalam court mana boleh Fik buat macam tu,kalau tak Fik mesti kena hukum gantung.Betul tak,Irfan?’’

       Dengan pantas Irfan mengangguk.Dia tidak peduli akan kebodohannya ketika itu.Asalkan tubuhnya selamat dari menjadi mangsa sepak terajang Taufik,itu sudah memadai.

       Senyuman Taufik melebar.Dia menggeliat dan menyandarkan tubuhnya pada sofa yang empuk itu. ‘’Cepatlah sikit pengetua.Saya dah mengantuk ni.’’Taufik berpura-pura menguap.

        Encik Jalil mengeluh melihat perlakuan Taufik.Taufik memang degil.Sudah ramai guru yang mengajar Taufik mengadu bahawa Taufik melakukan pelbagai perkara yang tak menyenangkan hati.Tetapi entahlah kenapa,dia percaya yang Taufik masih mampu diubah dan mempunyai potensi untuk berjaya. Walaupun Taufik lemah dalam pelajaran,tetapi dia amat cemerlang dalam kokurikulum.

        Encik Jalil mengalihkan pandangan kepada Irfan pula. ‘’Irfan,betulkah yang Taufik telah memukul kamu semalam?’’

        Puan Anis berasa semakin gelisah.Dia tahu,Taufik akan membongkarkan segalanya jika…Puan Anis menelan liur.Senyuman Taufik yang sinis itu cukup menakutkan.Biarlah kali ini kebenaran tidak terbongkar sekalipun.Dia rela andai rahsia yang sedang berada dalam genggaman Taufik itu terus kekal menjadi rahsia.

        Irfan menelan air liur.Dia berdepan dengan dilema kini.Sama ada mengungkapkan kebenaran atau menyatakan penipuan!





‘’HAA…kan saya dah cakap yang Fik tak salah.Puan Anis tu yang degil sangat.Saja nak tuding jari kat anak kita.’’Ucap Puan Ruzaimah puas setelah mereka berada di tempat letak kereta.

       ‘’Puaslah hati awak sekarang?’’Soal Encik Nurdin.Dia yakin yang Irfan berbohong tadi.Dan dia tahu sangat akan sebabnya.Semuanya sebab rasa takut dan kecut pada Taufik.

       ‘’Saya puas sangat bang.Puas sangat.Baru padan muka Puan Anis tu.Nak berlagak sangat dengan orang lain,inilah padahnya.’’

       ‘’Awak menujukan ayat tu kepada diri awak sendiri ke,Mah?’’Sindir Encik Nurdin.

       ‘’Eh abang ni,kenapa tak pasal-pasal abang babitkan saya pulak.Bila masa pulak saya berlagak dengan orang lain?’’

       ‘’Oh yalah.Sorrylah,saya tersilap cakap.Awak bukan berlagak,tapi meninggi diri.’’Ucap Encik Nurdin selamba seraya masuk ke dalam kereta.Puan Ruzaimah mengetap bibir apabila kata-kata Encik Nurdin disambut hilai tawa Taufik.

       ‘’Yang kamu ketawa ni kenapa?Kelakar sangat ke apa yang ayah kamu kata tadi tu?’’ Ujar Puan Ruzaimah dengan muka masam.

       ‘’Taklah.Bila masa pulak Fik cakap kelakar.Saja-saja nak gelak,salahkah?’’

       ‘’Pandailah kamu nak mengenakan mama.Kamu sama je dengan ayah kamu tu.’’Balas Puan Ruzaimah geram.Orang cakap betul-betul,dia main-main pulak.

       ‘’Alah,relakslah mama.Tak sporting betul ah mama ni.Bila lagi Fik nak kenakan mama kalau bukan sekarang?Mama tu bukannya selalu lekat kat rumah. Sibuk memanjang dengan aktiviti persatuan mama yang menegakkan hak asasi apa kebenda entah.’’ Sindir Taufik.

        ‘’Kamu menyindir mama ke Fik?’’Soal Puan Ruzaimah marah.Terasa dirinya dipermain-mainkan oleh dua beranak itu.

        ‘’Tak adalah.Mama terasa ke? Fik cakap kebenaran je.Lagipun,ustazah kata tak baik berbohong.Dosa….’’Perkataan dosa itu ditekankan.Dalam hati Taufik ketawa.Baru sekejap tadi dia berbohong dan kini dia mahu bercakap pasal dosa pahala pula.

        ‘’Pandailah kamu,Fik.Suka hati kamulah nak cakap apa pun.Malas mama nak layan kamu.Dahlah,mama nak balik.Malam ni mama tak ada di rumah,hadiri seminar di Kuala Terengganu.’’

       ‘’Apa? Awak nak pergi seminar? Kenapa tak beritahu saya?’’Soal Encik Nurdin bertubi-tubi,terkejut dengan perkhabaran itu.

       ‘’Tak penting pun sama ada saya beritahu abang atau tidak.Kesudahannya sama saja.Saya tetap akan pergi ke seminar tu nanti.’’

       ‘’Walaupun tanpa keizinan daripada saya?’’

       ‘’Ya!’’

        Encik Nurdin beristighfar dalam hati.YA-ALLAH,kuatkanlah hati hamba-Mu ini dalam menghadapi cubaan yang Engkau telah berikan.Encik Nurdin memandang Taufik yang kekal tenang.Dia tahu jauh di sudut hati Taufik,ada terpalit rasa luka di dalamnya.

       ‘’Oh,jadi mama tak ada kat rumahlah malam ni? Berapa hari pulak mama nak bermastautin kat sana?’’Soal Taufik.

       ‘’Yang kamu nak tahu sangat ni kenapa? Tak ada kaitan pun dengan kamu.’’

       ‘’Hal ni tak ada hubungannya dengan Fik?’’Taufik tersenyum sinis. ‘’Oh,I see!’’

       ‘’Sudahlah Fik.Kamu jangan nak berlengah-lengah lagi.Mama nak kamu beritahu mama sekarang pasal rahsia tu.Mama ada banyak kerja lagi nak buat.’’

       ‘’Kalau mama ada banyak kerja lagi nak buat,pergi sajalah.Sejak bila pulak Fik tahan mama kat sini?’’

        ‘’Kamu ni…’’Puan Ruzaimah mengetap bibir.Ada-ada saja alasannya nak sakitkan hati aku!

        ‘’Okey.Fik pun nak masuk kelas sekarang.Nanti cikgu bising pulak.Tak pasal-pasal maruah mama terjejas lagi.Bye….’’Taufik melambai-lambai tangannya.Bayangan tubuhnya semakin menghilang di sebalik koridor.Puan Ruzaimah masuk ke dalam kereta bersama dengan hatinya yang marah.

        ‘’ Hee…geram betul saya dengan si Fik tu!’’Puan Ruzaimah menghentakkan kakinya.

        ‘’Biasalah.Macam awak tak biasa dengan perangai anak awak tu.’’Bela Encik Nurdin.

        Puan Ruzaimah mengalih pandang ke wajah suaminya. ‘’Awak pun sama je macam Taufik tu.Dasar anak kurang ajar! Tak tahu nak menghormati orang tua langsung!’’Rungut Puan Ruzaimah lagi.

        ‘’Awak tak boleh salahkan Fik.Yalah,macam mana dia nak menghormati awak kalau awak tak menghormati dia sebagai seorang anak?’’

        ‘’Apa maksud awak? Bila masa pula saya tak menghormati dia?’’

        ‘’ Macam tadilah.Bila Fik tanya berapa hari awak nak pergi hadiri seminar kat Kuala Terengganu tu,awak kata hal tu tak ada kaitan dengan dia.Awak seolah-olah nak menidakkan hak dia sebagai seorang anak.’’

         ‘’Hak apa?’’

         ‘’For your information,seorang anak berhak mengetahui ke mana saja ibunya pergi,begitulah juga sebaliknya.Tak sedar-sedar dari mimpi lagi ke?’’Ayat terakhir Encik Nurdin berbaur sindiran.

         Puan Ruzaimah hanya diam.Nak terus bertelagah dengan suaminya pun tak guna.Asyik nak menyebelahkan Taufik saja kerjanya.Sebab itulah agaknya Taufik semakin besar kepala dan berani melawan cakapnya.Bapak dengan anak sama saja!





‘’WEI Fik…’’Tegur Sharif.Wajahnya yang sedikit berjerawat itu tersengih-sengih.Begitu juga dengan Rakin.Taufik tersenyum sinis melihat wajah Aleya yang nampak sedikit ketakutan.

       ‘’Aleya,kau boleh tolong aku tak?’’

       ‘’Tolong…tolong apa?’’Aleya sedikit tergagap-gagap.Dia menundukkan wajahnya,tidak memandang raut Taufik yang dipenuhi jambang hitam yang tumbuh  meliar.

       ‘’Macam biasalah.Macam kau tak tau tugas ‘rasmi’ kau setiap hari Rabu dan Jumaat pulak.’’Taufik ketawa terbahak-bahak. Aleya tersenyum nipis.Dia faham akan maksud Taufik.

       ‘’Dah,dah,dah!Tak payah nak tunjuk gigi jongang yang diselaputi besi warna-warni kau tu.Masuk sekarang.Nanti amoi tu bising pulak kat aku.Waktu rehat tinggal 10 minit lagi ni.’’Taufik memberi arahan layak seorang ketua.Rakin dan Syarif ketawa mendengar kata-kata Taufik.Aleya menekup mulutnya dan menundukkan kepala kembali.Hatinya tersentuh dengan penghinaan Taufik.Tidakkah lelaki itu sedar akan perasaannya kala itu?Tidakkah lelaki itu sedar kenapa dia sanggup menjadi amah tak bergaji untuk membersihkan kelas sewaktu waktu bertugasnya?

       Aleya membersihkan kelas dengan hati yang sedih.Taufik dan rakan-rakannya sedang enak menjamu selera,sedangkan dia pula kelaparan menahan pedih perut yang berkeroncong.Lebih malang lagi,dia terlupa pula hendak membawa bekal makanan seperti selalu.Apabila loceng berbunyi,Aleya menghempaskan keluhan.Semua kerjanya sudah selesai.Tinggal empat jam lagi sebelum sekolah tamat.Bermakna selama empat jam itulah dia terpaksa menanggung rasa lapar.

      ‘’Woo…Aleya! Seperti biasa,kerja yang memuaskan!!!’’Puji Taufik apabila melihat keadaan kelasnya yang tadinya seperti tongkang pecah sudah berubah seratus peratus.Aleya tidak menyahut kata-kata Taufik.Perutnya terasa senak.Dia meletakkan penyapu di tepi tong sampah. Sebelum keluar,dia mengerling wajah Taufik yang sering mewarnai mimpinya sejak dari tingkatan satu lagi.

      ‘’Aleya!’’Tiba-tiba Taufik bersuara apabila Aleya sudah berada di luar kelas.Aleya mengalihkan pandangannya.

      ‘’Nah!’’Taufik mengeluarkan sesuatu dari poketnya dan menghulurkannya kepada Aleya.Aleya terkejut melihat roti sardin yang berada dalam genggaman Taufik.Dia terpaku.

      ‘’Ambiklah.Aku tau yang kau tak makan lagi.Nanti tak pasal-pasal kau pengsan pulak nanti.Aku jugak yang kena.’’Taufik menarik tangan Aleya dan meletakkan roti sardin itu atas telapak tangan Aleya.Jantung Aleya bagaikan disentap.Wajahnya berubah merah.

      ‘’Te…terima kasih…Taufik…’’Balas Aleya tergagap-gagap.Dia menarik tangannya pantas.Dia meramas jari jemarinya dengan rasa gelisah.Wajahnya ditundukkan.Taufik menjenguk ke dalam kelasnya sekali lagi.

      ‘’Kau ni memang bagus kan dalam hal-hal pembersihan ni.Nampaknya kau ni boleh jadi suri rumah yang baik.Bolehlah satu hari nanti aku ambik kau jadi orang rumah aku kan!’’Taufik ketawa terbahak-bahak sambil menggeleng.

      ‘’Dahlah,balik kelas sekarang!’’Arah Taufik apabila tiada balasan daripada Aleya.Dia kemudiannya masuk ke dalam kelas tanpa mempedulikan Aleya lagi.Aleya masih terpaku di situ walaupun hampir kesemua murid kelas 4D sudah masuk.Melalui cermin tingkap itu,dia dapat melihat wajah Taufik yang sedang ketawa gembira dan menampar bahu Rakin.Roti yang diberi oleh Taufik dipeluk erat.Jantungnya semakin berdegup kencang mendengar kata-kata Taufik tadi.Hatinya mulai berbunga.                                                     

No comments:

Post a Comment